SHAH ALAM, 20 November- Selangor mempertimbang laksana pelarasan gaji kakitangan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM).
Usaha itu selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pihaknya akan menilai semula peruntukan bulanan bagi semua PKM termasuk kepada pembangkang susulan peningkatan kos sewaan.
"Pada ketika ini, pihak kerajaan negeri sedang menimbang beberapa cadangan untuk meningkatkan pelarasan gaji bagi kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) seluruh negeri Selangor, sesuai dengan pengumuman terbaru oleh pihak kerajaan Persekutuan.
Justeru, kita juga turut pertimbangkan agar gaji dalam kalangan pegawai ini dipertingkatkan," kata Datuk Seri Amirudin, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Sungai Pelek, Lwi Kian Keong pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Tambah Amirudin, isu penambahan kakitangan PKM yang dibebani dengan pelbagai program bulanan dan mingguan dijangka selesai selewatnya Jun tahun depan.
Dalam pada itu, Selangor merancang membangunkan pusat kajian data asas bagi gas rumah hijau untuk memantau kadar pelepasan karbon di negeri itu.
Datuk Seri Amirudin berkata ia merupakan inisiatif penting dalam menilai pelepasan gas rumah hijau dan merangka strategi pengurangannya.
"Pada ketika ini, kerajaan negeri telah bertemu dengan beberapa pihak antara yang kita telah temui adalah International Green Training Centre dan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation, untuk membangunkan kajian data asas bagi gas rumah hijau.
Bagaimanapun, kita belum menetapkan meski telah berurusan," jelas Amirudin.
Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze yang ingin mengetahui hasil Kajian Baseline Gas Rumah Hijau pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.