fb fb fb fb fb

Selangor mahu anjur Festival Turath Islami lebih kerap pupuk cintakan ilmu agama

Bekas Mufti Besar Mesir, Professor Dr Ali Jum'ah (kiri) menyampaikan Daurah Hadis 40 disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Festival Turath Islami Selangor yang diadakan di Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Ahad

SHAH ALAM, 26 Mei - Kerajaan negeri berhasrat menganjurkan Festival Turath Islami dengan lebih kerap dalam tempoh setahun, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Amirudin, festival itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta dari dalam dan luar negara.

Katanya, jika sebelum ini penganjur mengadakan festival itu dua kali setahun dengan acara mengupas kitab dan syarahan tokoh terkenal.

"Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus menghidupkan majlis pengajian ilmu serta pengajian kitab turath dalam menyuburkan syiar Islam.

"Tahun ini dari segi karya, saya percaya akan bertambah baik bertambah ramai kerana cuti sekolah dan ini sekali gus memberi peluang madrasah untuk bersama-sama dalam program Turath ini.

"Selain itu, pelbagai program diadakan seperti pameran dan sebagainya, tidak macam dahulu (tahun lalu) hanya tumpu kepada pengisian kelas dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Ahad.

Amirudin turut berhasrat melaksanakan kajian kitab-kitab warisan Islam secara sistematik dan tersusun.

Lebih 1,000 pengunjung termasuk dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei dijangka hadir ke festival itu.

“Justeru, penganjuran festival ini untuk mengisi ilmu berguna yang diiringi dengan zikir, selawat dan aktiviti kebudayaan serta kesenian untuk membentuk sanubari kita dengan bermakna,” katanya sambil menambah program itu akan berlangsung selama lapan hari.

Majlis bermula dengan kupasan kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah yang diterjemah Pengarah Akademi Pemikiran Turath Al-Mustanir, Ahmad Faiz Mohd Kalil.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Datuk Bandar Shah Alam, Ir Cheremi Tarman dan beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

GRACE AISYAH KEDAYAN