fb fb fb fb fb

Selangor kuat kuasa pelarasan tarif air baharu 1 September depan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 1 Ogos -Pelarasan tarif air baharu di Selangor akan mula berkuat kuasa 1 September depan, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dan garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia melibatkan lebih 2.7 juta akaun pengguna domestik dan komersial, bertujuan mengukuhkan perkhidmatan bekalan air terawat serta meningkatkan kecekapan operasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), terutamanya dalam menghadapi cabaran perubahan cuaca dan pertumbuhan populasi.

"Antara pelarasan utama ialah tiada perubahan kadar untuk penggunaan domestik sehingga 20 meter padu sebulan, kekal pada RM0.65/m³, penggunaan antara 20 hingga 35 m³ naik kepada RM1.62/m³, manakala penggunaan melebihi 35 m³ dikenakan RM3.51/m³.

"Manakala, rumah kos rendah akan dikenakan kadar serendah RM1.18/m³. Selain itu, kategori pusat data, sebagai pengguna baharu, dikenakan kadar RM5.31/m³ serta rumah ibadat dan institusi kebajikan kekal menikmati kadar rendah RM0.76/m³," katanya menerusi satu kenyataan.

Datuk Seri Amirudin berkata, pelarasan itu penting bagi memastikan rizab air negeri mencapai 20% menjelang 2030, selain memperkukuh infrastruktur seperti penggantian 1,600 km paip lama dan pembinaan loji rawatan baharu di Rasau dan Labohan Dagang yang menelan kos lebih RM8 bilion.

Bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, kerajaan negeri menegaskan bahawa golongan B40 tidak akan terbeban dengan pelarasan tersebut.

"Seramai 1.3 juta rakyat Selangor akan terus menerima manfaat air percuma bernilai RM13 sebulan bawah Skim Air Darul Ehsan (SADE), dengan had kelayakan pendapatan isi rumah dinaikkan kepada RM6,000. Rumah ibadat dan institusi kebajikan, kerajaan memperuntukkan RM100,000 setahun bagi menampung peningkatan kos caj air," katanya.

Pendaftaran bagi pengguna yang layak menerima SADE akan dibuka mulai 8 Ogos ini melalui laman web rasmi Air Selangor.

TETITIA YUSOFF