fb fb fb fb fb

Kurangkan risiko banjir, Selangor rancang bina 56 projek tebatan - Exco

Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan bahawa masalah banjir di kawasan berisiko tinggi mampu dikurangkan dalam tempoh dua tahun akan datang / Foto Hiasan / Bernama

SHAH ALAM, 14 November – Kerajaan negeri Selangor memberi jaminan bahawa masalah banjir di kawasan berisiko tinggi mampu dikurangkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Exco Infrastruktur negeri Selangor, Ir. Izham Hashim berkata ketika ini sebanyak 56 projek rancangan tebatan banjir sedang dilaksanakan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.5 bilion.

"Sebanyak RM3.5 bilion diperuntukkan, termasuk RM3 bilion dana kerajaan persekutuan serta RM500 juta dari kerajaan negeri untuk pelbagai projek.

"Terdapat 12 projek di peringkat persekutuan dan 44 projek di bawah negeri, meliputi pelbagai fasa seperti reka bentuk, ukur, dan kerja tanah. Projek banjir memerlukan masa tiga hingga empat tahun untuk siap sepenuhnya," katanya kepada pemberita, di sini.

Tambah Izham, bagi langkah jangka pendek, sebanyak 40 pam mudah alih telah disediakan kerajaan negeri untuk mengawal air di kawasan berisiko banjir.

Tambahan pam mudah alih juga disediakan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd sebagai persediaan menghadapi musim banjir kali ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN