fb fb fb fb fb

'Selamat tinggal...' - CEO AirAsia Riad Asmat letak jawatan

Riad Asmat (tengah) dilantik sebagai CEO AirAsia pada 10 Januari 2018/FOTO Instagram Riad Asmat

KUALA LUMPUR, 30 Disember - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Riad Asmat meletak jawatan hari ini.

Riad mengutuskan ucapan terima kasih kepada AirAsia dan pasukannya atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan sepanjang masa dalam tempoh baik atau sukar sepanjang beliau memimpin syarikat penerbangan itu.

"Saya tidak akan melupakan dan selama-lamanya bersyukur... Budi dikenang dan tidak akan dilupa, ribuan terima kasih saya ucapkan sekali lagi.

"Saya akan tetap doakan hanya yang terbaik untuk semua di sini semoga sentiasa selamat, sihat dan berjaya selalu," katanya menerusi hantaran di Instagram hari ini.

Beliau menyifatkan satu penghormatan kerana telah diberikan peluang untuk berkhidmat dan bekerjasama dengan setiap pasukannya di organisasi itu.

“Saya tidak begitu percaya pada ucapan selamat tinggal tetapi lebih kepada jumpa lagi nanti. Oleh itu, jumpa lagi nanti, kalau ada apa-apa nanti DM (direct message) tepi ya, " katanya berseloroh sambil menambah beliau gembira dalam setiap perjalanan di AirAsia tanpa ada rasa kesal.

Riad dilantik sebagai CEO AirAsia pada 10 Januari 2018.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN