KUALA LUMPUR, 15 Januari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat menyambut perayaan Ponggal kepada seluruh komuniti Tamil di Malaysia dalam satu hantaran di facebook hari ini.
Anwar dalam hantaran itu berkata, perayaan yang diraikan selama empat hari itu adalah perayaan budaya bagi menzahirkan rasa syukur, selain bersiap untuk lembaran baharu.
"Saya amat berharap masyarakat Tamil di Malaysia dapat meraikannya dengan kegembiraan serta kebahagiaan dan semarakkan nilai-nilai yang baik, selain terus memperteguh kemajmukan sebagai akar dan kekuatan bangsa," katanya dalam hantaran itu.
Ponggal menandakan permulaan bulan 'Thai' dalam kalendar Tamil dan disambut dengan penyediaan nasi manis untuk keluarga dan rakan-rakan sebagai tanda berterima kasih dengan hasil tuaian yang melimpah ruah.