KUCHING, 10 Februari – Sektor swasta disaran memperluaskan peluang pekerjaan di negeri ini untuk golongan pekak di negeri ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Menurut Fatimah ini bagi memastikan mereka memperoleh pekerjaan setanding dengan tenaga kerja lain dan mampu menjana pendapatan yang stabil.
"Golongan ini memiliki kemahiran tinggi dan wajar diberikan peluang pekerjaan yang setara berdasarkan kelayakan serta kebolehan mereka.
"Pemadanan pekerjaan amat penting bagi memastikan golongan pekak diberikan peluang mengikut kelayakan akademik dan kemahiran yang dimiliki," katanya dalam ucapan sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JobStock dan Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak di sini, hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar platform pencarian kerja seperti JobStock membangunkan pangkalan data khas bagi membantu komuniti pekak mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan mereka.
Setakat ini, JobStock telah menghubungi hampir 5,000 syarikat swasta di Sarawak bagi meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam pengambilan pekerja dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).
MoU yang dimeterai dalam majlis tersebut bertujuan memudahkan kerjasama antara JobStock dan Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan mengikut kemahiran golongan pekak, sekali gus menggalakkan penyertaan mereka dalam tenaga kerja negara.