SHAH ALAM, 28 Februari- Pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey akan meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk menjadi antara pemain utama sektor pelabuhan di peringkat dunia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata rancangan di bawah Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) itu juga bakal memberi pulangan ekonomi berterusan khususnya kepada negeri itu.
Tambahnya, ketika ini kebolehlaksanaan projek dalam peringkat cadangan itu disediakan Lembaga Pelabuhan Kelang dan diluluskan Kementerian Pengangkutan.
"Pembangunan pelabuhan ini juga akan memberikan kegiatan ekonomi tetapi dengan adanya aktiviti pelabuhan akan memberikan pulangan ekonomi yang berterusan kepada kerajaan negeri tapi pada tahap sekarang ini kita sedang teliti pre 'agreement' dengan dua tiga pihak yang telah 'approach' dan hal ini kita pertanggungjawabkan kepada perbadanan Selangor untuk meneliti pelaksanaan dan tapi yang lebih penting pihak mana yang diberikan kebenaran oleh pihak MOT (Kementerian Pengangkutan) bagi pembangunan pelabuhan ketiga Pulau Carey ini," katanya ketika menjawab soalan wakil rakyat Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berhubung status pembangunan Pelabuhan Pulau Carey dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini.
Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pemain industri utama antaranya, Taiwan dan China tahun ini dalam usaha meningkatkan lagi sektor semikonduktor yang dilihat mampu memacu pembangunan ekonomi Selangor.
Jelas beliau, perincian pendekatan baharu itu bagaimanapun akan diumum kelak.
Terdahulu, Amirudin memberitahu, sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Sektor perkhidmatan menyumbang 3.3 mata peratusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor untuk tahun 2023 dan diunjurkan 3.4 mata peratusan tahun ini.
Sementara sektor pembuatan pula dijangka melonjak kepada 1.2 mata peratusan kepada 5.2 peratus pertumbuhan KDNK Selangor bagi tahun 2024.