fb fb fb fb fb

Sektor pembekalan tenaga, lebih banyak pilihan buat pengguna

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

PONTIAN, 26 Mei - Pengguna bakal mempunyai lebih banyak pilihan menerusi pelaksanaan perkhidmatan pembekalan tenaga elektrik pihak ketiga (TPA), September ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perincian mengenainya akan diumum Julai nanti.

Beliau berkata, insiatif itu membolehkan pengusaha TPA membekalkan tenaga kepada pelanggan yang tidak memilih untuk menggunakan khidmat Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Tarikh pelaksanaannya diawalkan ke tahun ini susulan maklum balas positif daripada pelbagai pihak yang berminat untuk menceburi sektor tersebut.

"Setakat ini mungkin tidak memadai tapi TPA itu akan membuka ruang. Pada masa ini kita menggunakan secara sistem kuota bagi mengimbangi antara kemampuan bekalan pada masa sama menghasilkan kestabilan dan juga mengimbangi antara penawaran dan permintaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Projek Kombinasi Pembakaran Biojisim Malakoff Corporation Berhad di Loji Janakuasa Tanjung Bin, di sini.

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan turut menyasarkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2035.

Beliau berkata, langkah itu dijangka dapat mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 10 juta tan setahun.

"Salah satu campuran tenaga yang kita hendak fokuskan di samping solar ialah biodiesel termasuklah biojisim ini dan semoga semua campuran tenaga ini kita dapat menjamin bekalan tenaga yang selamat, bersih dan mampu dibiayai pengguna," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN