Sektor pemakanan terus berkembang, nilai eskport meningkat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 6 Februari Penglibatan orang ramai dalam sektor pemakanan semakin mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan anak-anak muda yang dilihat semakin aktif menceburi industri berasaskan pertanian dan makanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan penglibatan anak muda dalam industri pertanian dan makanan memperkukuh sektor pemakanan.
  • Nilai eksport makanan meningkat, mengecilkan jurang dengan import negara.
  • Produk utama seperti durian, sarang burung, kelapa dan kopi menembusi pasaran antarabangsa.
  • Eksport melebihi RM1 bilion bagi beberapa produk membuktikan potensi global industri makanan tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkembangan positif ini turut disokong oleh laporan daripada Kementerian Kewangan serta Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan jurang antara nilai eksport dengan import negara semakin mengecil.

“Alhamdulillah, sebelum ini nilai import negara direkodkan melebihi RM80 bilion, namun perkembangan terkini menunjukkan walaupun import masih berada pada tahap tinggi, nilai eksport negara terus mencatat peningkatan.

“Peningkatan ini didorong terutama oleh produk makanan utama seperti durian, sarang burung, kelapa dan kopi yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan menerima sambutan menggalakkan,” katanya.

Datuk Seri Mohamad menyatakannya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Agro Madani 2025/2026 di ibu negara.

Selain itu katanya, beberapa produk makanan negara kini mencatatkan nilai eksport melebihi RM1 bilion antaranya sarang burung, nanas dan durian, sekali gus membuktikan potensi besar industri makanan tempatan di peringkat global.

Beliau turut berharap agar eksport makanan negara akan terus meningkat dengan penglibatan lebih meluas daripada pelbagai kaum, termasuk Bumiputera, serta penglibatan anak-anak muda terutamanya dalam perusahaan berasaskan pertanian.

Ia bukan sahaja menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, malah menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi.

Pada majlis tersebut, beberapa syarikat cemerlang merangkul anugerah mengikut bidang masing-masing.

Antaranya Anugerah Kecemerlangan Bumiputera, Anugerah Kecemerlangan Dalam Teknologi, Anugerah Individu dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.