Seksyen 233 Akta Komunikasi: Kebebasan bersuara dalam talian bukan hak mutlak

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 7 Februari – Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung tafsiran Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menegaskan, kebebasan bersuara dalam talian bukanlah suatu yang mutlak, sebaliknya tertakluk kepada tanggungjawab dan kepentingan awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan Mahkamah Persekutuan menjadikan Seksyen 233 sebagai mekanisme pencegahan terhadap kebencian, buli siber dan serangan peribadi.
  • Undang-undang bertujuan melindungi masyarakat majmuk dengan mengehadkan penyebaran kandungan yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
  • Pindaan 2024 termasuk istilah 'jelik' membantu membezakan kritikan sah daripada komunikasi yang memudaratkan.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ima Liana Esa berkata, keputusan itu memberi kesan langsung terhadap cara masyarakat berinteraksi dalam ruang digital yang kini berfungsi sebagai ruang awam.

“Saya melihat keputusan Mahkamah Persekutuan ini sebagai satu keputusan penting yang memberi kesan langsung kepada cara masyarakat berinteraksi dalam ruang digital itu sendiri. Keputusan ini membawa mesej yang sangat jelas, kebebasan bersuara dalam talian itu bukanlah suatu hak mutlak,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Beliau berkata, keputusan mahkamah yang melihat Seksyen 233 sebagai mekanisme perlindungan menunjukkan undang-undang tersebut bersifat pencegahan bagi mengelakkan ruang digital menjadi medan kebencian, buli siber dan serangan peribadi.

Katanya, ia bertujuan melindungi masyarakat daripada kemudaratan menunjukkan bahawa undang-undang ini lebih bersifat pencegahan.

Menurut Dr. Ima lagi, dalam konteks masyarakat majmuk, keputusan itu berperanan mengekang penyebaran kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum, agama dan perpecahan sosial.

Mengulas pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia pada 2024 termasuk penggunaan istilah ‘jelik’, beliau berkata, langkah itu membantu menjelaskan garis pemisah antara kritikan yang sah dan komunikasi yang memudaratkan.

“Penjelasan ini boleh memberi kefahaman kepada masyarakat tentang garis pemisah antara kritikan yang sah dan juga komunikasi yang benar-benar memudaratkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kebebasan bersuara dalam ruang digital perlu disertai tanggungjawab, literasi media dan etika komunikasi bagi memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ima Liana Esa