fb fb fb fb fb

Sekolah diminta tangguh aktiviti luar jika IPU meningkat

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 24 Julai - Pihak sekolah diingatkan agar menangguhkan atau mengurangkan sebarang aktiviti luar bilik darjah susulan fenomena jerebu rentas sempadan yang kini menjejaskan beberapa negeri, termasuk Negeri Sembilan.

Exco Pendidikan dan Modal Insan Negeri, Datuk Ismail Lasim, berkata Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa memantau perkembangan semasa dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa bagi memastikan langkah sewajarnya dapat diambil.

Jelasnya, semua sekolah juga perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan agar kesihatan dan  keselamatan murid berada dalam keadaan baik.

"Kita telah maklumkan kepada pihak sekolah supaya berhati-hati.

"Sebaiknya, semua aktiviti luar bilik darjah seperti program sukan atau acara berkumpulan ditangguhkan sementara waktu bagi menjaga keselamatan murid," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Meniti Usia Remaja di Galeri Diraja Tuanku Jaafar, di sini hari ini.

Datuk Ismail turut menegaskan agar semua sekolah mematuhi garis panduan keselamatan dan kesihatan yang telah ditetapkan bagi memastikan kesejahteraan murid sentiasa diutamakan.

"Murid juga dinasihatkan memakai pelitup muka, banyakkan minum air, dan elakkan aktiviti lasak terutama dalam keadaan cuaca panas," tambahnya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini dilaporkan berkata Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sekiranya bacaan IPU melebihi 200, sebagai langkah keselamatan tambahan.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI