Sekolah di Kelantan perlu tangguh aktiviti luar jika suhu lebih 35 darjah Celcius

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 31 Mac – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengedarkan surat kepada 595 buah sekolah di negeri itu bagi menangguhkan penganjuran aktiviti luar sekiranya suhu melebihi 35 darjah Celcius dalam masa tiga hari berturut-turut.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPN Kelantan mengeluarkan arahan menangguhkan aktiviti luar jika suhu berada di paras berisiko secara berterusan.
  • Langkah itu bertujuan melindungi murid daripada risiko strok haba dan masalah kesihatan berkaitan haba.
  • Aktiviti seperti sukan tahunan, kem, perkhemahan dan lawatan berisiko ditangguhkan; operasi sekolah dipantau mengikut maklumat MetMalaysia.

Pengarah Pendidikannya, Siti Norina Muhamad berkata, surat itu diedarkan semalam kepada semua sekolah untuk mengelakkan murid atau pelajar daripada terkena strok haba.

“Seperti kebiasaan, pihak kami tidak membenarkan sebarang aktiviti luar dilaksanakan buat masa ini. Surat pemakluman berhubung larangan tersebut telah dikeluarkan dan diedarkan kepada semua sekolah, termasuk arahan penangguhan aktiviti luar yang telah dirancang.

“Antara aktiviti yang terlibat ialah sukan tahunan, kem kepimpinan, perkhemahan serta lawatan ke kawasan berisiko. Semua aktiviti berkenaan ditangguhkan sehingga keadaan kembali selamat,” katanya demikian pada sidang media di Majlis Pengumuman Rasmi Keputusan SPM 2025 Kelantan di JPN Kelantan di sini, hari ini.

Tambah beliau, setakat ini tidak ada laporan tentang cuaca yang melebihi 35 darjah Celcius lebih dari tiga hari di negeri itu.

Pihaknya sentiasa memantau operasi sekolah termasuk laporan cuaca daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).