
KUALA LUMPUR, 15 Januari – Kerajaan menegaskan sekatan sementara terhadap fungsi kecerdasan buatan (AI) Grok di aplikasi X hanya akan ditarik semula jika isu berkaitan penghasilan kandungan mudarat dapat diselesaikan sepenuhnya oleh pihak platform berkenaan.
- Kerajaan hanya akan tarik balik sekatan Grok apabila isu penghasilan kandungan mudarat diselesaikan sepenuhnya oleh platform.
- X telah nyahaktifkan beberapa prompt tetapi masih ada ruang penyalahgunaan imej dan video.
- Pendekatan libat urus berlandaskan undang-undang diutamakan berbanding sekatan terus.
- Keselamatan pengguna kekal keutamaan sebelum sebarang sekatan sementara ditarik balik.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata walaupun pihak X telah mengambil beberapa langkah termasuk menyahaktifkan prompt tertentu, tindakan itu masih belum mencukupi kerana wujud ruang penyalahgunaan kandungan berbentuk imej dan video.
Beliau berkata kerajaan memilih pendekatan libat urus serta berlandaskan undang-undang dalam menangani isu berkenaan, namun aspek keselamatan pengguna kekal menjadi keutamaan sebelum sebarang sekatan ditarik balik.
“Selepas kita menjalinkan hubungan dan mengadakan perbincangan dengan platform-platform terlibat, saya percaya pendekatan ini lebih positif kerana kita tidak terus menyekat, sebaliknya mahu memastikan tidak berlaku penyalahgunaan platform, khususnya oleh penjenayah.
“Walaupun beberapa pindaan telah dibuat dan beberapa bentuk prompt tidak lagi dibenarkan, masih terdapat kaedah lain. Oleh itu, kita mahu memastikan secara keseluruhan bahawa pihak X dapat membuktikan tiada lagi keadaan di mana kandungan berbentuk video atau imej boleh dihasilkan untuk tujuan penyalahgunaan.
“Apabila isu itu diselesaikan sepenuhnya, barulah sekatan sementara boleh ditarik semula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pelancaran Center for Responsible Technology (CERT) di ibu negara.