Sejarah pembentukan Malaysia perlu diajar secara seimbang – Datuk Seri Fadillah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (depan dua, kiri) bersalaman bersama tetamu yang hadir pada Majlis Makan Malam Oxbridge Sarawak malam tadi/BERNAMA

KUCHING, 26 Januari -Kefahaman terhadap sejarah penubuhan Malaysia, khususnya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), perlu diperkukuh dalam sistem pendidikan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sejarah penubuhan Malaysia, termasuk MA63 dan IGC, perlu diajar selaras dalam sistem pendidikan bagi mengukuhkan kefahaman generasi muda.
  • Sukatan pelajaran mesti disusun menyeluruh untuk menerangkan peranan serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.
  • Semakan berkala dan libat urus pihak berkepentingan diperlukan supaya silibus kekal relevan dan memupuk perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penekanan terhadap sejarah Malaysia harus dilaksanakan secara seimbang dan tidak tertumpu semata-mata kepada sejarah penubuhan Malaya.

Menurut beliau, kandungan silibus pendidikan perlu disusun secara menyeluruh bagi memastikan generasi muda memahami asas pembentukan Malaysia, termasuk peranan serta kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.

Kandungan silibus harus memastikan generasi muda memahami asas pembentukan Malaysia secara menyeluruh agar tidak timbul salah faham terhadap kedudukan negeri-negeri dalam Persekutuan.

“Banyak orang tidak memahami, sebab dalam proses pendidikan kita tidak banyak ditekankan tentang sejarah penubuhan Malaysia. Lebih kepada sejarah penubuhan Malaya. Malaysia ya MA63, IGC tidak termasuk dalam silibus sejarah kita, sebab itu tidak ramai orang memahami,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama Jaringan Alumni Universiti Oxford dan Cambridge di sini, malam tadi.

Jelas beliau, pemahaman yang tepat terhadap sejarah pembentukan negara mampu memupuk semangat kebersamaan serta saling menghormati antara wilayah.

Sehubungan itu, semakan terhadap kandungan silibus pendidikan perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan ia kekal relevan, selari dengan keperluan semasa serta cabaran masa depan.

Menurutnya, usaha berkenaan kini sedang melalui proses libat urus secara berterusan bersama pihak-pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan.