PUTRAJAYA, 8 September - Sejarah, budaya dan nilai peradaban perlu kekal menjadi asas penting dalam pembangunan negara, meskipun Malaysia giat meneroka teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, walaupun negara sedang menuju ke arah penerokaan teknologi terkini, aspek sejarah tidak wajar diremehkan kerana ia menjadi asas dalam membina identiti dan pembangunan negara yang berlandaskan nilai serta akar budaya yang kukuh.
“Kadang-kadang perbincangan dalam negara seperti sekarang, kita banyak menekankan soal digital, AI, semikonduktor dan teknologi baharu. Itu kadangkala meremehkan peranan sejarah.
Padahal, kalau kita belajar AI itu sendiri, ia hanya akan berjaya jika kita faham nilai, akhlak dan sejarah kita. AI boleh menjadi penerusan pandangan asing sekiranya kita hanya menciplak tanpa mempertahankan identiti dan kekuatan sendiri, termasuk sejarah.
Apa yang dilontarkan oleh AI sebenarnya bergantung kepada apa yang kita masukkan dalam teknologi itu sendiri. Jadi, kalau kita ajarkan pemahaman tentang sejarah Melayu dan kekuatannya, itu juga yang akan digarap kembali oleh AI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran, penyampaian watikah dan mesyuarat Majlis Sejarawan Negara, di sini hari ini.
Datuk Seri Anwar menambah, dalam hasrat Malaysia untuk menjadi peneraju transformasi digital dan kecerdasan buatan, generasi muda perlu dididik dengan pelbagai disiplin ilmu termasuk sejarah, budaya, bahasa dan agama.