
KUALA LUMPUR, 1 Februari– Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyeru agar lebih banyak majlis ilmu dianjurkan, khususnya menjelang bulan Ramadan, bagi memastikan umat Islam tidak leka dengan urusan dunia sehingga mengabaikan kehidupan akhirat.
- Seru lebih banyak majlis ilmu menjelang Ramadan untuk elak umat Islam leka dengan urusan dunia dan abaikan akhirat.
- Tekankan keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi; keutamaan hasanah fi dunya wal hasanah fil akhirah.
- Galakkan menuntut ilmu tanpa batas melalui penglibatan aktif dalam majlis ilmu dan perkongsian doa.
“Kita tahu harus ada keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi dalam soal ibadah. Ibadah itu sering dihubung kaitkan dengan perkara yang dekat dengan dakwah.
“Mungkin kita seorang ahli politik, ahli perniagaan dan ahli profesional namun paling penting keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi. Apa yang kita perlukan hasanah fi dunnya wal hasanah fil akhirah (kebaikan di dunia dan kebaikan juga di akhirat nanti)” katanya ketika berucap pada majlis ilmu ‘Doa Dari Hati’ 3.0 di sebuah hotel di ibu negara.
Justeru,beliau turut menasihatkan supaya umat Islam untuk terus menuntut ilmu menerusi penglibatan dalam majlis-majlis ilmu.
“Ilmu ini tiada batas. Sebanyak mana air di lautan, ilmu Allah swt itu lebih dalam dan banyak. Apabila ia tiada batas dan jumlah, maka terjadilah infiniti,” jelas beliau lagi.
Program ‘Doa Dari Hati’ 3.0 menampilkan tokoh-tokoh inspirasi dari Malaysia dan Indonesia antaranya Ustaz Muhammad Assad dan Ustazah Oki Setiana Dewi.
Program berkenaan mengupas kekuatan doa sebagai penawar jiwa yang terdiri tiga sesi perkongsian dari tokoh-tokoh terlibat.