ALOR SETAR, 19 Januari - Segmen "34 Je, Kita Suka" yang disiarkan di 34 stesen radio di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya mencapai lebih 200 juta pendengar sepanjang tahun lalu, jauh melepasi sasaran awal sebanyak 50 juta pendengar.
Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop berkata program tersebut memberi peluang kepada penggiat industri seni kreatif dan karyawan tempatan untuk berkongsi maklumat dan perkembangan semasa dengan komuniti setempat.
"Pelbagai topik santai seperti hobi, seni muzik, seni halus, seni ukir, tempat menarik, makanan unik, pelancongan, warisan, dan produk tempatan buatan Malaysia dikongsikan dengan acuan setiap stesen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri segmen Aktif Pagi bersama Pengarah Bahagian Program Radio bertajuk “Evolusi Radio: Dari Terestrial ke Penstriman Digital” di konti KEDAHfm, di sini.
Saifuzzaman menjelaskan program itu memberi peluang untuk mencungkil dan memaparkan keunikan dan tarikan yang jarang diketahui penduduk setempat, terutama mengenai kekayaan budaya dan warisan tempatan.
Program "34 Je, Kita Suka" yang dilancarkan pada 6 Januari 2024 oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, tampil dengan konsep segar dan santai.
Program tersebut disiarkan serentak setiap minggu selama 34 minit, dari Jumaat hingga Ahad, bermula pukul 3.40 petang hingga 4.14 petang.