
BUKIT PALAH, 6 Mac – Kebajikan kira-kira 1.2 juta pekerja gig di negara ini bakal diperkukuh menerusi penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGim).
- Kabinet meluluskan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig untuk mengawal selia pelaksanaan Akta Pekerja Gig.
- SEGim akan memantau dan melindungi kebajikan pekerja gig, termasuk mendorong caruman kepada Perkeso dan KWSP.
- Penetapan kadar upah minimum berdasarkan jarak perbatuan dan penekanan TVET bagi latihan kemahiran teknikal.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan suruhanjaya itu telah diluluskan di peringkat Kabinet minggu lalu bagi mengawal selia pelaksanaan Akta Pekerja Gig yang diluluskan tahun lalu.
Menurut beliau, SEGim berperanan memantau serta melindungi kebajikan pekerja gig, memandangkan masih terdapat dalam kalangan mereka yang belum mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Aspek-aspek ini akan menjadi sebahagian daripada tatacara dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan sektor berkenaan. Ini termasuk penetapan kadar upah minimum berdasarkan jarak perbatuan.
“Memandangkan terdapat kadar yang berbeza-beza ketika ini, pihak kami berhasrat untuk melakukan pelarasan supaya kebajikan pekerja gig dapat terus dipelihara,” katanya.
Pihaknya juga akan memberi tumpuan dalam bidang TVET supaya mereka dapat latihan kemahiran dalam bidang berkenaan sebagai persediaan mendapat kerjaya dalam bidang teknikal demi masa depan mereka.
Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Iftar Jamaie Mega Kerajaan Negeri Melaka di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof dan 3,000 rakyat negeri itu.