JOHOR BAHRU, 3 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek tambah baik kemudahan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, terutama ruang parkir kenderaan bernilai RM500 juta disegerakan.
Ini berikutan, ia menjadi faktor penyumbang kepada kesesakan di hospital tertua di negeri itu.
Tegas Anwar, fasa pertama bagi pembinaan ruang parkir bertingkat perlu dimulakan tahun ini.
"Jadi kita selesaikan parkir...jadi parkir itu tidak harus mengganggu pelan perancangan pembinaan semula beberapa blok.
"Seperti kita tahu, tanah ini hampir 100 ekar tapi kalau kita guna pelan asal, tanah itu sudah mencukupi...jadi rencana sekarang ialah membangunkan beberapa kompleks bangunan tingkat tinggi supaya dapat memenuhi keperluan," katanya.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
ketika ditemui pemberita semasa lawatan di HSA hari ini)
Lawatan dibuat selepas mendapat laporan mengenai kesesakan di premis berkenaan sejak sekian lama dan memerlukan peruntukan segera, bagi tujuan tambah baik.
Peruntukan RM500 juta tersebut sebelum ini telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
Tumpuan ketika ini adalah untuk menyelesaikan isu mendesak berkaitan HSA, sebelum membuka ruang kepada cadangan pembinaan HSA2.