fb fb fb fb fb

Segerakan projek perbesar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang - Anwar

Gambar fail Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang/Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 11 Januari – Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) perlu disegerakan bagi memenuhi permintaan sektor pelancongan dan industri yang semakin meningkat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, projek pembesaran memainkan peranan penting dalam usaha menarik pelancong sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri ini.

“Saya ikuti perkembangan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Ketua Menteri supaya projek pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang juga disegerakan kerana tarikan pelancong dan keperluan industri. Malah, terdapat cadangan FedEx untuk terlibat dalam projek di kawasan tersebut,

"Bila kita besarkan pelabuhan dan ia sudah penuh, keperluan pesawat juga semakin bertambah. Pelancongan dan industri berkembang, dan kini kita dapat lihat bagaimana industri dari pulau berkembang hingga ke seberang, termasuk Seberang Perai dan Batu Kawan, yang kini hampir penuh.

"Ini menunjukkan sambutan dan keyakinan bukan sahaja terhadap dasar kerajaan Persekutuan tetapi juga cara negeri dan pimpinan negeri mengurus negeri dengan cekap dan pantas,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Majlis Pecah tanah projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang, di sini pada Sabtu.

Majlis perasmian yang berlangsung di Tapak Projek Bandar Sri Pinang pagi tadi turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Sebelum ini media melaporkan pembesaran lapangan terbang yang dijadualkan siap menjelang 2028 itu akan menampung 12 juta penumpang setahun.

Pada 27 Februari tahun lalu, Anthony mengumumkan kerajaan telah meluluskan projek pembesaran dan naik taraf PIA bernilai RM1 bilion, dengan MAHB bertindak sebagai penyelia projek itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN