fb fb fb fb fb

Segala keputusan ASEAN tidak terikat dengan penasihat, pengaruh luar- Fahmi

FOTO RTM

PUTRAJAYA, 17 Disember- Segala keputusan berkaitan ASEAN akan ditentukan oleh blok serantau tanpa dipengaruhi pihak luar.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata pelantikan Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi itu mencerminkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan yang terbaik untuk ASEAN.

"Ia adalah penasihat yang tidak formal dan nasihat yang diberikan non-binding, bukanlah pengarahan tetapi hasrat Perdana Menteri, dalam tempoh 12 bulan kita jadi Pengerusi ASEAN, kita manfaatkan masa itu dengan baik.

"Dapatan hasil daripada perbincangan mereka itu akan menjadi nasihat dan panduan untuk Perdana Menteri. Akhirnya apapun keputusan bagi ASEAN akan diputuskan oleh ASEAN itu sendiri bukan oleh mana-mana pihak yang lain," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya.

Menurutnya, pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand dan tokoh-tokoh berwibawa yang lain dibuat berdasarkan pengalaman serta pengetahuan mereka dalam perkembangan serantau ASEAN.

Pengumuman rasmi berkenaan senarai nama tokoh terlibat akan dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau Kementerian Luar.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan, amalan 'sharenting' atau fenomena perkongsian foto dan video anak-anak secara berlebihan mampu mengundang jenayah dalam talian.

Beliau berkata tindakan itu mengakibatkan kanak-kanak sering menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

"Jika ada anak yang berusia bawah 13 tahun, jangan benarkan mereka membuka akaun media sosial, dan saya juga ingin mengingatkan kita semua untuk lebih berhati-hati dengan apa yang kita kongsi dalam talian.

"Kita tidak tahu siapa yang akan menyimpan dan menggunakan maklumat tersebut. Malah di Facebook, mereka letak gambar kanak-kanak berbaju kurung dan ada kumpulan ini yang mempunyai puluhan ribu ahli menyatakan perkara tidak senonoh.

"Saya tidak mahu kita ambil sambil lewa isu keselamatan dalam talian, kemudaratan dalam talian ini benar-benar berlaku," katanya.

Jelasnya, menjelang tahun depan satu ikrar keselamatan dalam talian membabitkan kanak-kanak akan diperkenal sekali gus menjadi komitmen rasmi warga kementerian bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE