fb fb fb fb fb

Sedia bertanding semula di Indera Mahkota - Saifuddin

KUANTAN, 23 Oktober- Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah tidak menolak kemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen Indera mahkota, jika dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, PN Bahagian Indera Mahkota mencadangkan namanya kepada pucuk pimpinan untuk bertanding di kerusi terbabit.

"Kalau ikut bahagian saya (Bersatu Indera Mahkota) dan PN Indera Mahkota, mereka mencadangkan saya bertanding semula di sini," beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program gerai prihatin rakyat peringkat PN Indera Mahkota, di sini.

Program itu menawarkan pakej barangan dapur merangkumi beras, minyak masak, ayam segar, bawang dan kentang pada harga RM30.

Datuk Seri Saifuddin memenangi kerusi parlimen Indera Mahkota dalam PRU14 dengan majoriti 10,950 undi.

Beliau yang ketika itu mewakili PH mendapat 28,578 undi menewaskan calon daripada BN, Dr Johan Mat Sah 17,628 undi dan calon PAS, Nasrudin Hassan Tantawi mendapat 17,515 undi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah

Beliau turut memaklumkan penyerahan watikah kepada semua calon PN Pahang akan diadakan beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis mengumumkan tarikh penamaan calon untuk PRU15 ditetapkan pada 5 November, manakala tarikh untuk pengundian awal 15 November dan tarikh mengundi pula pada 19 November ini.

Media Baharu