fb fb fb fb fb

Sedekad tragedi MH17: Adik bongsu sukar lupakan kakak terkorban

FOTO RTM

IPOH, 17 Julai - Meskipun 10 tahun berlalu, tragedi pesawat Malaysia Airline MH17 yang ditembak jatuh masih segar di ingatan keluarga mangsa, rakyat Malaysia dan seluruh dunia.

Noorlin Mohd Noor, 57 tahun, adik bongsu kepada Noor Rahimah Mohd Noor ,76, yang terkorban dalam nahas pesawat berkenaan, mengakui masih sukar melupakan kakaknya yang dianggap seperti ibu dan anak.

Kongsinya kepada RTM, kakaknya mesra dipanggil 'Kak Nyah' kerana arwah sering menelefonnya setiap minggu.

Anak bongsu daripada 14 beradik itu berkata, mereka selalu bertanya khabar antara satu sama lain dengan jarak usia yang jauh dan sering memberi nasihat kepadanya.

"Dia seorang yang bercakap lemah lembut dan mempunyai ciri sifat keibuan. Semenjak mak tiada, dia mengambil berat, setiap minggu telefon saya. Saya memang rindu sangat," katanya ketika ditemui RTM.

Noor Rahimah merupakan salah seorang daripada 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas itu dan pernah bertugas sebagai setiausaha di Kedutaan Malaysia di Jerman selain penterjemah di Geneva, Switzerland.

GRACE AISYAH KEDAYAN