fb fb fb fb fb

Sebutan semula kes lelaki Palestin cederakan rakan senegara 23 Jun depan

Mustafa F M mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Langkawi pada 8 April lalu/Foto Ihsan PDRM

LANGKAWI, 19 Mei - Mahkamah Majistret Langkawi menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh baharu sebutan semula kes lelaki warga Palestin atas tuduhan mencederakan rakan senegaranya hingga parah dalam kejadian pada 29 Mac lalu.

Majistret Nurul Natasha Rizal menetapkan tarikh itu bagi menunggu laporan kimia dan penyerahan dokumen kes.

Tertuduh, Mustafa F M Alabed Sadeya, 22 tahun, hadir ke mahkamah bersama peguam Nur Liyana Hazwani Saberi selaku peguam bagi pihak mewakili peguam asal, Asiah Abd Jalil yang tidak dapat hadir.

Ketika ditemui, peguam Nur Liyana Hazwani, memberitahu tertuduh telah menyatakan hasrat untuk melantik peguam baharu pada prosiding akan datang.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatin Mastura Asri.

Pada 8 April lalu, Mustafa mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Izzeddin A Z Alqassass menggunakan pisau di Jalan Teluk Baru, Pantai Tengah, kira-kira pukul 5 petang pada 29 Mac lalu.

Kesalahan yang dibacakan mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh sementara menunggu sebutan semula kes hari ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN