SINGAPURA, 29 Januari- Syarikat Induk Shopee, Sea Limited memberi komitmen untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia dengan mewujudkan lebih 2,000 pekerjaan langsung.
Keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semasa sesi lawatan ke ibu pejabat Shopee.
(Tengku Datuk Seri Zafrul semasa sesi lawatan ke ibu pejabat Shopee)
Melalui kenyataan MITI memaklumkan, Sea Limited telah memperincikan pelan projek pembesarannya di Malaysia.
Ini melibatkan penyelarasan dan penetapan 'cloud services', 'data hosting' dan 'processing' serta gudang logistik untuk perkhidmatan e-dagang.
Projek 'cloud services' SEA Limited akan dibangunkan di fasiliti tiga tingkat dilengkapi dengan teknologi hijau di Kulai, Johor dan dijangka siap menjelang suku pertama 2024.
Selain itu, platform e-dagang Shopee juga akan mengembangkan operasinya di Malaysia melalui gudang mega baharu yang sedang dibina di Bukit Raja, Klang.
Keputusan Sea Limited untuk mengembangkan strategi pelaburannya di Malaysia jelas mencerminkan keyakinan syarikat terhadap prospek dan kestabilan operasi, polisi serta dasar kerajaan dalam landskap perniagaan di Malaysia.