fb fb fb fb fb

SDG 2024 langkah substansif menuju Agenda 2030

Datuk Hanifah Hajar Taib

KUALA LUMPUR, 17 September- Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2024 mengumpulkan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor bertujuan menyemarakkan usaha ke arah pembangunan mampan.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, sidang kemuncak selama dua hari itu membuka tirainya hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk berkongsi pandangan dan mengambil langkah substansif ke arah merealisasikan SDG menuju Agenda 2030.

"Ia akan menjadi peluang untuk kita mendengar topik yang dikenal pasti dan saya amat menggalakkan semua orang untuk memberikan input berharga supaya ia menjadi sesi inklusif. Saya menggesa anda semua untuk menggunakan sepenuhnya acara ini.

"Saya juga menyeru semua peserta untuk menggunakan Sidang Kemuncak ini sebagai platform untuk menyumbang yang berharga pandangan yang akan membimbing dasar Malaysia dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan melakar perjalanan negara kita sehingga 2030," katanya.

Hanifah Hajar Taib berkata demikian ketika berucap pada ucaptama Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2024 di ibu negara.

Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi dan anjuran bersama Pusat SDG Nasional (PSN) serta Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai rakan strategik untuk sidang kemuncak tahun ini.

Sementara itu sidang kemuncak berkenaan akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini.

Selain itu sidang berkenaan turut menyediakan enam pleno dan 10 sesi dengan 30 gerai pameran.

Perkara itu selaras dengan inisiatif holistik MADANI untuk merealisasikan pendekatan keseluruhan negara dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI