fb fb fb fb fb

'Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta' - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November lepas

KUALA LUMPUR, 25 November - Perdana Menteri sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau kononnya menggunakan dana syarikat swasta bagi lawatan rasmi ke lima buah negara, baru-baru ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada perselisihan kepentingan seperti yang digemburkan sesetengah pihak.

"Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jika mengunakan jet eksekutif kerajaan, kos perlu ditanggung kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara.

Jelasnya, baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara-negara tersebut untuk tujuan pelaburan atau usaha sama.

"Syarikat ini bayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta. Saya tidak guna dana syarikat swasta.

"Kerajaan guna penerbangan MAS untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta. Ini guna wang Kerajaan sepenuhnya," katanya.

Jumaat lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan berjaya menjimatkan hampir RM1 juta membabitkan kos penerbangan bagi lawatan rasmi Perdana Menteri bersama delegasi rasmi baru-baru ini.

Anwar selamat tiba di tanah air pada 20 November, selepas mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November.

 

 

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN