ISKANDAR PUTERI, 21 Oktober - Klinik Kesihatan Gelang Patah dilaporkan berada dalam keadaan daif dan tidak mampu menampung jumlah pesakit harian yang semakin meningkat.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan klinik tersebut, yang dikatakan mengalami masalah ruang sempit, fasiliti usang, kekurangan aset penting seperti mesin ultrasound dan komputer.
Katanya, antara isu utama yang diutarakan adalah kekurangan kerusi, kipas, dan pendingin hawa yang rosak di ruang menunggu, selain parkir kenderaan yang tidak mencukupi dan tidak tersusun.
"Kerajaan Negeri akan membantu sedaya mungkin bagi menyelesaikan isu ini, selain turut melaksanakan penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan sedia ada.
"Saya sedar dan insaf masih banyak yang perlu dilakukan dalam mempertingkat kualiti fasiliti kesihatan di negeri Johor," katanya menerusi hantaran beliau di Facebook selepas melawat klinik itu semalam.
Lebih membimbangkan, klinik tersebut menerima purata lebih 800 pesakit setiap hari, sedangkan ia perlu menampung populasi hampir 100 ribu penduduk di kawasan Iskandar Puteri.
Justeru, atas faktor itu, terdapat cadangan untuk pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu di kawasan Iskandar Puteri.
"Namun, saya percaya dengan kerjasama, usaha dan sokongan semua pihak, segala apa yang direncanakan mampu direalisasikan," katanya.