SUNGAI TUA, 30 Julai - 'Perpaduan rakyat tanpa dipisahkan warna politik'.
Itu wadah perjuangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Calon Pakatan Harapan (Harapan) N16 Sungai Tua.
Formula itu mengambil aspirasi penyatuan yang terzahir pada era 70-an, yang terbukti berjaya membina permuafakatan dan perpaduan rakyat berbilang bangsa, agama dan fahaman politik.
Datuk Seri Amirudin percaya, meraikan serta melupakan beberapa perbezaan, jauh lebih penting daripada keegoan mahupun perbalahan peribadi yang merencatkan kestabilan, keamanan dan kemajuan negara.
Selain menyatukan rakyat menerusi program kemasyarakatan melibatkan anak muda, wanita dan warga emas; agenda pembangunan sukan dalam kalangan belia turut diutamakan.
Antaranya, menaik taraf fasiliti sukan termasuk padang bola di Kampung Wira Damai dengan anggaran kos melebihi RM1 juta.
"Sebenarnya dua kali telah kita cuba bangunkan (padang bola) tapi keadaan muka buminya tak stabil mungkin perlukan rumput sintetik.
"Kita akan laksanakan dengan peruntukan-peruntukan dari parlimen yang telah sedia ada. Ini tanggungjawab saya sebagai ahli parlimen, apa jadi pun saya akan laksanakan demi kebaikan rakyat," katanya kepada RTM.
Seawal pagi, Datuk Seri Amirudin memenuhi jadual padat termasuk berkunjung ke Pasar Selayang, menyantuni penduduk dalam program Ramah Mesra Kampung Nakhoda, program KEMAS dan Perasmian Pertandingan Sepak Penalti di Kampung Wira Damai, program Ramah Mesra Bersama Penduduk Indian Settlement dan Ceramah Jelajah Madani DUN Sungai Tua.
Amirudin Shari yang mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua berdepan saingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN ke-15) kali ini.
Pada PRU14, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menang dengan majoriti 11,374 di DUN Sungai Tua selepas menewaskan tiga calon lain dari BN, PAS dan Bebas yang berentap dalam pertandingan empat penjuru di DUN berkenaan.