Sasaran pertumbuhan ekonomi kekal, kerajaan imbang tekanan inflasi susulan konflik Asia Barat

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di SMK Bandar Baru Uda, hari ini.

JOHOR BAHRU, 29 Mac – Usaha mengimbangi kebajikan rakyat, tekanan inflasi dan pertumbuhan ekonomi, diberi tumpuan oleh Kerajaan susulan ketidaktentuan global akibat konflik Asia Barat, pada masa sama, mengekalkan sasaran pertumbuhan 2026 pada 4.0 hingga 4.5 peratus setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menimbang kebajikan rakyat, tekanan inflasi dan pertumbuhan ekonomi susulan ketidaktentuan global akibat konflik Asia Barat.
  • Majlis Tindakan Ekonomi Negara diaktifkan dan bersidang mingguan untuk memantau perkembangan serta mencadangkan langkah kepada Jemaah Menteri.
  • Kerajaan kekalkan perbelanjaan domestik, pacu pelaburan swasta, teruskan projek pembangunan dan pastikan jaminan bekalan tenaga serta rantaian bekalan.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata unjuran itu mengambil kira pelbagai risiko semasa termasuk ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan global, namun sebarang perubahan sasaran pertumbuhan ekonomi itu akan dimaklumkan oleh Bank Negara Malaysia.

Beliau juga berkata bagi meneruskan pertumbuhan ekonomi, perbelanjaan domestik perlu dikekalkan mengikut keperluan, pelaburan swasta terus dipacu serta pelaksanaan projek pembangunan kerajaan diteruskan dan berjalan seperti dirancang.

Pada masa sama kerajaan perlu menyeimbangkan antara keperluan melindungi kebajikan rakyat dengan usaha memastikan momentum pertumbuhan ekonomi terus kekal.

“Tekanan terbesar yang perlu kita hadapi ketika ini berkait dengan isu bekalan minyak dan inflasi, namun imbangan itu perlu dibuat dengan memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas.

“Kita kena pastikan perbelanjaan itu terus ada, kita perlu pelaburan daripada swasta itu terus masuk dan juga dari segi penglibatan kerajaan dalam soal pembangunan ini kekal utuh ataupun ada progres yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah menjeaskan sejak konflik bermula, kerajaan telah mengaktifkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang kini bersidang secara mingguan bagi memantau perkembangan semasa berdasarkan data terkini serta meneliti langkah bersesuaian menangani impak konflik berkenaan.

Hasil perbincangan MTEN itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk diputuskan.

Selain itu, Kementerian Ekonomi turut mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mendapatkan maklum balas berhubung cabaran semasa serta langkah meredakan kesan tekanan ekonomi.

Pertemuan dengan wakil PKS itu akan diadakan esok.

Menurutnya, kerajaan juga memberi perhatian kepada jaminan bekalan domestik termasuk tenaga, dengan langkah-langkah perlu sedang diambil bagi memastikan kelangsungan bekalan dalam tempoh jangka sederhana.

Sebelum ini, kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 pada kadar 4.0 hingga 4.5 peratus meskipun berdepan ketidaktentuan global, dengan penilaian semula akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini.