fb fb fb fb fb

Sasaran 2 juta daftar sistem PADU, mampu direalisasi akhir bulan ini

Pendaftaran sistem PADU di PEDi Lok Heng, Kota Tinggi, Johor

KOTA TINGGI, 17 Januari- Sasaran dua juta pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) mampu dicapai, menjelang akhir bulan ini.

Ini berdasarkan angka yang direkod sehingga kini, iaitu hampir 1.2 juta orang telah mendaftar di seluruh negara. Jumlah itu termasuk 123,000 warga Johor.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, sistem berkenaan berupaya menjadikan pembangunan negara lebih rancak, seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

Beliau juga menasihati setiap rakyat yang telah mendaftar supaya menjaga maklumat penting masing-masing khususnya, kata laluan.

"Pesanan saya kepada semua terutamanya warga emas, jaga kata laluan, jaga kata laluan sistem padu ini seperti menjaga kata laluan kad bank sebab kata laluan itu amat penting untuk tengok dari semasa ke semasa kerana program yang akan dilaksanakan selepas ini akan berpaksi kepada sistem PADU ini dan masing-masing boleh menyemak", katanya kepada media semasa mengadakan lawatan kerja di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Lok Heng, Kota Tinggi, Johor.

Sementara itu, rata-rata komuniti FELDA yang ditemui memaklumkan telah mendaftar sistem PADU dengan bantuan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di kawasan mereka.

"Dia bantu kita, jadi rasanya tidak susah, kita sama-sama untuk belajar dan hari ini pun kita diberi penerangan dan mudah-mudahan kita semua boleh terima dan kami daripada  bendahari akan memaklumkan kepada komuniti kita supaya datang ke sini untuk sama-sama mendaftar",  kata suri rumah Siti Zainon Buang.

"Selain itu, kami juga diajar cara hendak mendaftar menggunakan telefon oleh pegawai daripada Penerangan, jadi selepas ini kami akan terus kepada ahli-ahli komuniti untuk menyampaikan maklumat", kata peneroka FELDA, Aida Sabri.

Pada 2 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pelancaran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan masyarakat diseru untuk mendaftar sistem berkenaan sebelum 31 Mac ini.

ROSLINA BINTI DIN