fb fb fb fb fb

Kempen Internet Selamat sasar 344 sekolah

Teo Nie Ching (dua, kiri) menerangkan cara penggunaan internet secara selamat kepada beberapa murid sekolah sempena Kempen Internet Selamat di Sekolah Rendah Kebangsan Sung Siew, hari ini./BERNAMA.

SANDAKAN, 17 Jun - Sebanyak 344 buah sekolah di seluruh negara disasar melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS), antara Mei hingga Ogos ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, 64 buah sekolah membabitkan sekolah di Sabah.

"Ada empat elemen menjadi tumpuan program. Fokus utama adalah tentang buli siber kerana kes tersebut menunjukkan peningkatan," katanya.

Beliau ditemui media pada program KIS di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sung Siew di Sandakan.

Menurutnya lagi, kempen dilaksanakan secara berfasa itu memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dalam talian melalui pendidikan kepada pelajar.

Selain buli siber, KIS turut memfokuskan isu penipuan dan judi dalam talian, eksploitasi seksual kanak-kanak serta perlindungan data dan literasi digital.

Seramai 11,839 guru, pelajar dan ibu bapa terlibat menjayakan KIS di seluruh negara.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN