fb fb fb fb fb

Saringan kesihatan percuma, didik rakyat cakna kesihatan diri - Exco

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin

KLANG, 27 Oktober- Selangor memperuntukkan lebih RM3 juta bagi program saringan dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada rakyat negeri itu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata ia meliputi saringan asas termasuk pemeriksaan penyakit kanser, penglihatan dan pendengaran dan telah memberi manfaat kepada lebih 6,000 penerima.

Menurutnya, peruntukan besar dikeluarkan kerajaan negeri bertujuan meningkatkan kesedaran pemeriksaan kesihatan yang masih rendah dalam kalangan masyarakat.

"Ramai warga Selangor dan juga rakyat Malaysia sebenarnya tidak sedar tentang keadaan kesihatan sendiri. Kita pernah menjalankan perbincangan dan pemahaman terhadap perkara itu, ramai yang memberi alasan sibuk bekerja malah ada yang tidak peduli terhadap kesihatan diri sendiri.

"Saringan kesihatan itu sebenarnya penting kerana sekiranya kita dapat tahu berkaitan isu kesihatan pada peringkat awal, maka kos rawatan akan lebih rendah dan juga kita bersedia untuk fasa rawatan," kata Jamaliah kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan program penutup Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Selangor, di sini.

Katanya, program saringan kesihatan dijalankan di semua 56 Dewan Negeri (DUN) untuk membantu masyarakat dapatkan rawatan percuma.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM