KANGAR, 27 Januari – Inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan (LPPKN) meneruskan saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA secara percuma dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan beban isi rumah penduduk di Perlis.
LPPKN telah memperkenalkan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) bagi mempromosikan inisiatif program saringan kanser reproduktif wanita iaitu Saringan Kanser Serviks melalui Ujian HPV DNA dan saringan kanser payudara melalui Ujian Mamogram.
Menurut Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdulah, di bawah Kempen WCaRe ini, KPWKM mensasarkan seramai 57,000 orang wanita di seluruh negara mendapat manfaat pada tahun 2024 termasuk 400 orang wanita di Perlis.
Sejak 2019 sehingga Disember 2023, seramai 1,413 orang wanita di Perlis telah menjalani ujian HPV DNA.
"Ujian HPV DNA merupakan kaedah yang amat berkesan dalam mengesan kehadiran kanser serviks, kos yang perlu ditanggung jika dilaksanakan di hospital swasta adalah antara RM300.00 hingga RM500.00 sekali ujian," katanya ketika ditemui media pada Program KASIH Keluarga: Gempur Saringan HPV DNA 2024 Peringkat Negeri Perlis sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2024 di Taman Buah-Buahan Eksotik, Sungai Batu Pahat.
Bersempena program ini, satu Memorandum Perjanjian geran peruntukan Program Khidmat Masyarakat berjumlah RM21,000 daripada Yayasan CIMB kepada LPPKN bagi pelaksanaan Program Pemerkasaan Institusi Keluarga Negeri Perlis 2024.
Kolaborasi ini membolehkan Program Pemerkasaan Institusi Keluarga Negeri Perlis 2024 dapat ditawarkan secara percuma kepada masyarakat dan komuniti yang memerlukan dengan penyertaan sekurang-kurangnya 300 orang.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling dan Pengarah LPPKN Negeri Perlis, Naemah Ibrahim.