fb fb fb fb fb

Sarawak, zon pertama program Semarak Kampus MADANI

FOTO FB Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)

PUTRAJAYA, 5 Mac- Sarawak dipilih menjadi zon pertama bagi program Semarak Kampus MADANI atau Jerayawara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

KPT menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan program itu akan dihoskan oleh warga Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta beberapa lagi institusi.

“Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta pengurusan tertinggi KPT turut dijadual bermalam di kolej kediaman bagi merasai sendiri pengalaman kembali ke kampus.

“Selain itu, beberapa program turut dijadualkan berlangsung di Politeknik Kuching,” menurut kenyataan itu.

Program Semarak Kampus MADANI adalah cetusan idea Zambry yang diumum dalam Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Universiti Malaya pada 12 Jan lepas.

Berkonsepkan program turun padang, Zambry bersama timbalannya Datuk Mustapha Sakmud dan pengurusan tertinggi KPT akan melihat situasi sebenar di peringkat institusi serta mendengar sendiri keluh-kesah pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi.

Kenyataan itu turut memaklumkan program Semarak Kampus MADANI bertujuan memastikan aspek kebajikan pelajar dan petugas dititikberatkan.

“Pendekatan program ini diharap menjadi satu medan untuk warga institusi pendidikan tinggi (IPT) menyampaikan aspirasi manakala kepimpinan pula mendengar semua isu yang timbul di segenap lapisan seterusnya mewujudkan suatu usaha ke arah penyelesaian secara tuntas di samping mengeratkan hubungan antara kepimpinan KPT dan warganya,” menurut kenyataan itu.

Program Semarak Kampus MADANI atau Jerayawara KPT, yang merupakan siri jelajah ke IPT termasuk universiti awam (UA) dan swasta, politeknik serta kolej komuniti, akan diadakan di 16 zon seluruh negara.

Pelbagai program direncana dengan semua kumpulan komuniti institusi akan dirai dalam siri jelajah itu bagi memperkukuh kerjasama strategik dan kolaborasi antara KPT dengan UA dan swasta, politeknik dan kolej komuniti serta pemegang taruh pendidikan tinggi di peringkat kerajaan negeri.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE