CHERAS, 4 Januari- Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 pada 27 Mei ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, sambutan itu akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambahnya pemilihan Sarawak kali ini adalah bertepatan dengan hasrat Perdana Menteri ketika berucap pada sambutan HAWANA 2023 di Ipoh tahun lepas.
"Semalam dalam Mesyuarat Pasca Kabinet, saya telah memaklumkan bahawa Perdana Menteri telah menetapkan HAWANA tahun ini akan diadakan pada 27 hari bulan Mei 2024 bertempat di negeri Sarawak. Beberapa perbincangan akan diadakan termasuk dengan Kerajaan Negeri untuk menentukan beberapa perkara", katanya.
Beliau berkata, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) akan terus memainkan peranan sebagai urusetia bagi penganjuran sambutan berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Editor RTM Sahbudin Abdullah yang menghidap masalah jantung di kediamannya di Cheras.