fb fb fb fb fb

Sarawak semakin pulih, 12 lagi PPS ditutup

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

ASAJAYA, 2 Februari- Keadaan banjir di Sarawak semakin pulih dengan pengurangan jumlah penduduk terjejas banjir dan 12 pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas memaklumkan bahawa jumlah PPS kini berkurang kepada 63.

‘’Setakat pukul 10.00 pagi tadi 12 PPS telah ditutup, termasuk tujuh di Kuching, satu di Serian, satu di Saratok, dan tiga di Sibu. Ia melibatkan 972 penduduk terjejas daripada 287 ketua isi rumah (KIR)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sampun Tebun di sini hari ini.

Bagaimanapun seramai 12,402 penduduk terjejas daripada 3,722 KIR masih berada di PPS.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menjelaskan bahawa tiada laporan diterima daripada penduduk terjejas berkaitan kebajikan dan keselamatan.

Pasukan keselamatan dan pihak berkuasa akan terus memantau keadaan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjejas yang masih berlindung di PPS terjaga.

Beliau turut memaklumkan PPS Tanah Putih di Serian merekodkan kes jangkitan sakit mata dalam kalangan kanak-kanak namun kesemuanya telah menerima rawatan daripada pasukan perubatan.

"Walaupun beberapa kawasan masih mengalami gangguan jalan, bekalan makanan dan bantuan telah disediakan. Polis turut mengawal kampung-kampung yang ditinggalkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya lagi.

Dalam pada itu setiap keluarga terjejas akibat banjir layak menerima bantuan RM1,000 daripada kerajaan, namun mereka perlu berdaftar dengan pihak berkuasa terlebih dahulu.

"Pegawai daerah akan mendaftar mereka dan membuat penilaian. Kita akan menilai alasan mereka dan menentukan sama ada mereka layak menerima bantuan atau tidak," katanya.

Bagi kawasan Long, Busang di Belaga, bantuan RM1,000 hanya diberikan kepada keluarga yang layak dan telah berdaftar dengan Pejabat Daerah dan Residen. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI