KUCHING, 22 Januari- Kerajaan negeri Sarawak akan membina tempat transit gelandangan (TTG) yang kedua di Kuching.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan TTG tersebut kini dalam proses tender dan bakal dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Katanya, menurut perancangan, pembinaan TTG tersebut yang diracang dibina berdekatan Jalan P.Ramlee, akan dimulakan dalam masa terdekat.
"TTG berkenaan merupakan yang pertama bawah seliaan DBKU. Langkah ini bagi memastikan golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan juga tidak dipinggirkan ke arah Sarawak menuju negeri maju menjelang 2030,"katanya.
Jelasnya, TTG pertama di bandaraya Kuching adalah seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) iaitu di tingkat tiga bangunan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Padungan.
Datuk Seri Fatimah berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara, Hilmy Othman di Ibu Pejabat DBKU Bukit Siol.
Lawatan tersebut adalah sebagai platform untuk kedua-dua pihak bertukar pendapat dan berkongsi idea dalam usaha memantapkan lagi kesejahteraan komuniti dan masyarakat bandaraya Kuching.
TTG pertama di Sarawak telah diwujudkan di Sibu pada 2021 dan buat masa ini, kerajaan negeri sedang melaksanakan TTG di Jambatan Sungai Sebiew, Bintulu.