fb fb fb fb fb

Sarawak pasang impian jadi hab penerbangan dunia seperti Dubai

Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Perasmian Hotel Sheraton Kuching

KUCHING, 19 Februari- Sarawak mahu menjadi hab utama penerbangan antarabangsa sama seperti di Dubai, apabila syarikat penerbangannya mula beroperasi kelak, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau menjelaskan, status sebagai hab penerbangan dunia juga bakal membuka peluang ekonomi yang besar buat negeri tersebut.

Katanya, Sarawak akan mengguna pakai model penerbangan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu UAE dalam usaha membangunkan sektor penerbangannya.

“Jika kita gunakan model itu (Dubai), kita boleh membawa lebih banyak ekonomi kepada rakyat kita. Sebab itu kita mahu ambil alih serta wujudkan syarikat penerbangan sendiri, bukan sahaja untuk mengimbangi harga pasaran tiket penerbangan malah untuk nilai tambah lain,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hotel Sheraton Kuching malam tadi.

Terdahulu, beliau memaklumkan proses akhir pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh Kerajaan Sarawak dijangka dimuktamadkan pada suku kedua atau ketiga tahun ini.

Pada masa ini katanya, proses penilaian wajar terhadap syarikat itu sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bersama Kementerian Pengangkutan Persekutuan dan Khazanah Nasional Berhad.

Sementara itu, Tan Sri Abang Johari turut memaklumkan bahawa Sarawak berhasrat untuk menghubungkan Kuching terus dari Pulau Jeju, Korea apabila bandar raya Kuching secara rasminya diisytiharkan sebagai Geopark menjelang 2026.

Ini selari dengan usaha kerajaan untuk memperluaskan perhubungan Sarawak dengan negara luar menerusi sektor penerbangannya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE