KUALA LUMPUR, 18 Mei- Sarawak mampu mencatatkan jumlah pendapatan lebih baik bagi tahun mendatang berikutan pertumbuhan ekonomi negeri yang dilihat cukup memberangsangkan.
Keyakinan itu dinyatakan oleh Premiernya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas Sarawak memperolehi pendapatan bernilai RM4.798 billion bagi suku pertama tahun ini.
Ia sekali gus membuktikan negeri itu berada pada landasan tepat ke arah menjadi negeri berpendapatan tinggi menerusi perlaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCSD 2030).
"Kita ada rancangan jangka panjang melalui PCSD 2030 dan sekarang adalah usaha untuk melaksanakan.
"Umpamanya untuk luar bandar kita bangunkan infrastruktur asas seperti bekalan api, bekalan air, jalan raya, jambatan dan telekonimunikasi. Kita belanjakan bajet kita kepada pembangunan asas itu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir pada sesi dialog awam dalam program Diskusi Belanjawan Sarawak di PAUM Clubhouse, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Sementara itu, menyentuh mengenai pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan Sarawak, Abang Johari berkata, usaha yang sedang berlangsung tersebut bukan untuk tujuan komersial semata-mata.
Sebaliknya kerajaan negeri berhasrat menjadikan ia sebagai sebuah entiti infrastruktur.
Ia juga selaras dengan cadangan Sarawak untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baharu dalam usaha menjadikan ibu negeri, Kuching sebagai hub penerbangan serantau, selain mengatasi isu harga tiket.