fb fb fb fb fb

Sarawak masih beri subsidi harga tiket kepada pelajar IPT

Fazzrudin Abdul Rahman

KUCHING, 1 September- Kerajaan Sarawak masih memberi subsidi tiket penerbangan kepada pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi untuk pulang melalui skim Graduan Pulang Sarawak, iGPS.

Ahli Dewan Undangan Negeri N8 Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman memaklumkan, skim tersebut telah memberi manfaat kepada sehingga 12,000 pelajar setiap tahun di mana mereka boleh memohon skim itu dua kali setahun dan menerima subsidi sehingga RM600.

Secara langsung skim berkenaan telah meringankan beban pelajar dan ibu bapa mereka dalam membayar tambang penerbangan untuk pulang ke kampung halaman.

Manakala pada masa yang sama, kerajaan negeri turut sedang berusaha untuk merealisasikan syarikat penerbangannya sendiri untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk.

Sejurus kerajaan Sarawak mengambil alih operasi penerbangan itu kelak ianya dijangka dapat meningkatkan ketersambungan dan kebolehcapaian udara di rantau ini serta memastikan persaingan dari segi harga tiket, memastikan harga tambang penerbangan tidak lagi dimonopoli.

Fazzrudin mengulas bagi menjawab kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang menggesa kerajaan Sarawak menangani kenaikan harga tiket penerbangan.

Sebelum ini cadangan kerajaan Sarawak mengambil alih MASwings mendapat sokongan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri untuk mempunyai syarikat penerbangan sendiri kerana keperluan mendesak dalam perhubungan udara.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg pada bulan April, turut mendedahkan pengambilalihan MASwings sedang dalam peringkat perbincangan berkaitan aspek teknikalnya dengan garis masa untuk operasinya adalah pada tahun hadapan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE