KUCHING, 24 Februari- Kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan menjelang 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah memberitahu selepas berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar tahun lalu, kementeriannya akan meneruskan pendekatan yang sama untuk proses pemutihan golongan miskin dalam negeri.
Tambahnya, pendekatan holistik dan bersepadu telah diterapkan dalam usaha tersebut, dengan penglibatan ketua masyarakat, ketua kaum, serta agensi antaranya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.
"Kerjasama dengan pemimpin tempatan dan agensi berkaitan membolehkan kita mengenal pasti dan membantu golongan yang benar-benar memerlukan," katanya.
Berdasarkan data daripada sistem E-KASIH, jumlah isi rumah miskin di Sarawak sedang dikaji semula untuk memastikan ketepatan maklumat.
"Proses pemutihan dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar miskin layak menerima bantuan. Ketua kaum dan ketua masyarakat memainkan peranan penting dalam proses verifikasi ini," jelasnya.
Bagi golongan yang disahkan miskin, pelbagai bentuk bantuan telah disediakan, termasuk bantuan kewangan dan program penyesuaian pekerjaan (job matching).
"Jika ada ahli keluarga yang masih produktif, mereka akan dibantu mendapatkan pekerjaan atau menyertai program latihan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah," tambahnya.
Selain itu, pembangunan infrastruktur seperti juga memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan dengan merancakkan aktiviti perniagaan dan meningkatkan peluang pekerjaan.
Beliau memberitahu demikian dalam sidnag media di Kuching hari ini
Setakat ini, lebih 50,000 individu di Sarawak menerima bantuan bulanan daripada JKM, termasuk golongan warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).
"Kami yakin, dengan pendekatan berfokus dan sistematik, kadar kemiskinan negeri ini akan terus menurun secara signifikan menjelang 2025," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk pemimpin tempatan, agensi kerajaan dan masyarakat bagi memastikan kejayaan program pengurangan kemiskinan di Sarawak.