fb fb fb fb fb

Sarawak destinasi pelaburan utama di ASEAN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/Foto BERNAMA

KUCHING, 13 Julai -Kepimpinan Kerajaan Sarawak yang dinamik, dasar mesra pelabur dan kestabilan politik yang berterusan telah meletakkan negeri ini sebagai antara destinasi utama pelaburan di Malaysia dan rantau ASEAN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelabur antarabangsa kini melihat Sarawak sebagai sebuah negeri yang mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor strategik, khususnya tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan teknologi hijau.

Menurut beliau, keyakinan pelabur banyak dipengaruhi oleh dasar kerajaan negeri yang konsisten serta tadbir urus ekonomi yang baik dan berkesan.

“Semasa lawatan kerja saya ke luar negara bagi mewakili Perdana Menteri ke Expo 2025 di Osaka, ramai pelabur menyuarakan minat terhadap Sarawak kerana melihat negeri ini memiliki ekosistem pelaburan yang kondusif dan kompetitif,” katanya.

Tambah beliau, Sarawak turut mendapat perhatian dalam kalangan Menteri-Menteri Luar ASEAN yang mengiktiraf negeri ini sebagai model pelaburan yang mampan dan lestari. Malah, video promosi pelaburan Sarawak turut ditayangkan dalam salah satu mesyuarat mereka.

Datuk Seri Fadillah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perdana Kesenian dan Kebudayaan Dayak Peringkat Parlimen Petra Jaya 2025 yang berlangsung di sini.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa segala pencapaian yang diraih Sarawak pada hari ini tidak akan bermakna tanpa kekuatan perpaduan rakyat, yang menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri selama ini.

“Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Sarawak agar terus menyokong kepimpinan negeri dan kekal bersatu dalam menjayakan Visi Sarawak Maju dan Makmur menjelang tahun 2030,” katanya.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI