fb fb fb fb fb

Sarawak cipta sejarah jadi tuan rumah WVPAC 2025

Sidang media WVPAC 2025 di Kuching.

KUCHING, 8 September - Sarawak julung kali dipilih sebagai tuan rumah Kongres Persatuan Veterinar Ayam Sedunia ke-23 (WVPAC 2025) yang bakal menghimpunkan pakar ternakan unggas dari seluruh dunia.

Pengerusi Penganjur, Profesor Dr Abdul Rahman Omar berkata, penganjuran ini bukan sahaja mengangkat imej Sarawak di peringkat antarabangsa, malah memperkukuh kepentingan industri ternakan sebagai tulang belakang bekalan makanan negara.

Katanya, bidaan untuk menjadi tuan rumah telah dibuat pada 2018, sebelum penularan pandemik COVID-19.

“Penganjuran kongres ini amat penting dan tepat pada masanya untuk membincangkan cabaran baharu, khususnya penyakit yang memberi kesan bukan sahaja kepada sektor ayam ternakan Malaysia tetapi juga industri unggas global,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai WVPAC 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, kongres yang bertemakan “Sustainable Healthy Poultry for a Healthier World” itu merupakan antara acara saintifik antarabangsa terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.

Kongres berkenaan akan membincangkan isu utama termasuk penyakit ayam ternakan, keselamatan makanan, biosekuriti dan kelestarian industri.

TUN JULIA MOHD TAHIR