
KUCHING, 31 Mac – Sarawak mencatatkan prestasi terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sepanjang tempoh 10 tahun.
- Gred Purata Negeri meningkat kepada 4.79 berbanding 4.84 pada 2024, menunjukkan peningkatan prestasi akademik.
- Seramai 853 calon memperolehi A dalam semua mata pelajaran, mencerminkan peningkatan kualiti pendidikan negeri.
- Jumlah calon lulus meningkat kepada 21,680 orang, dan peratus layak sijil SPM kekal tinggi pada 93.99 peratus.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata pencapaian itu disokong peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) kepada 4.79 mata berbanding 4.84 mata pada 2024.
“Pencapaian tersebut merupakan yang terbaik dalam tempoh lebih sedekad, menunjukkan usaha berterusan pihak sekolah, guru dan pelajar dalam meningkatkan prestasi akademik.
“Berdasarkan data pencapaian, seramai 853 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan meraih A dalam semua mata pelajaran, sekali gus mencerminkan peningkatan kualiti pendidikan di negeri itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pengumuman keputusan SPM 2025 di sini, hari ini.
Jumlah calon yang lulus semua mata pelajaran meningkat kepada 21,680 orang, berbanding 20,123 calon pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 2.26 peratus.
Dalam pada itu, peratusan calon layak menerima sijil SPM kekal pada tahap tinggi iaitu 93.99 peratus, meskipun terdapat perbezaan berbanding 2024 iaitu 94.11 peratus.
Kelayakan sijil bergantung kepada kelulusan subjek teras termasuk Bahasa Melayu dan Sejarah, yang terus menjadi penanda aras utama pencapaian pelajar.