fb fb fb fb fb

Sarawak cadang bina lapangan terbang antarabangsa baharu

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg/Foto Facebook Sarawakku

KUCHING, 15 Mei - Sarawak merancang membina sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baharu di negeri ini, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Abang Johari berkata cadangan tersebut adalah bagi menyokong pertumbuhan industri penerbangan di negeri ini.

Jelasnya lagi, perancangan tersebut adalah memandangkan lapangan terbang sedia ada tidak dapat menampung penerbangan dan penumpang yang semakin meningkat selain fasiliti yang kurang lengkap.

“Saya rasa sudah sampai masanya kerana lapangan terbang ini beyond capacity, trafik udara di Kuching sekarang semakin bertambah dan bangunan terminal sedia ada tidak mempunyai kemudahan mencukupi untuk menampung pertambahan penumpang.

"Tambahan pula kita menetapkan matlamat menjadikan Kuching sebagai hab penerbangan bukan sahaja untuk penumpang tetapi juga untuk hab kargo kerana kita juga sudah ada hab pelabuhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Tambahnya, lokasi bagi pembinaan tapak baharu itu sudah dikenal pasti dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai dana pembinaan lapangan terbang itu, beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak Malaysia Aviation Berhad (MAHDB) sekiranya mahu menjadi rakan kongsi atau bergantung kepada keupayaan dana negeri.

Abang Johari berkata, dengan siapnya lapangan terbang antarabangsa Kuching baharu itu nanti, LTAK sedia ada boleh dijadikan lapangan terbang untuk jet atau pesawat peribadi.

Terdahulu dalam sesi penggulungan DUN hari ini,Premier Sarawak memaklumkan bahawa dengan pengambilalihan MASwings, Sarawak bersedia untuk menjadi satu lagi hab serantau penerbangan bagi ASEAN.

GRACE AISYAH KEDAYAN