KUCHING, 18 Januari - Kerajaan Sarawak bercadang membina enam buah menara mirip menara di Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.
Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menara itu bakal dibina di Masjid Jamek Negeri di sini.
“Kita akan kita tambah (bina) menara (di Masjid Jamek negeri) macam di Masjid Nabawi. Masjid kita ini terletak di tengah-tengah nadi (pusat) pemerintahan negeri.
“Saya bercadang untuk bina enam menara dan harganya boleh tahan (tinggi). Kita harap dengan pembinaan (menara) ini ia dapat mengangkat semangat orang Islam,” katanya.
Beliau berucap demikian di acara Wacana Perdana bersama Agensi-Agensi Islam Sarawak di sini malam ini.
Abang Johari berkata pembangunan dan kemajuan itu dilaksanakan berikutan peningkatan pendapatan negeri sebanyak RM13.3 bilion pada tahun lalu.
“Selagi rezeki kita ada, kita angkat semangat orang Islam dan secara tidak langsung martabat orang Islam dan perpaduan antara kita terjaga supaya kita dapat berkhidmat kepada orang Islam dan bukan islam,” katanya.
Masjid Jamek Negeri Sarawak yang terletak di Petra Jaya, Kuching berkeupayaan memuatkan jemaah sehingga 14,000 orang.