fb fb fb fb fb

Sarawak belum dimaklumkan secara rasmi projek TBR

Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 30 Mac- Kerajaan Sarawak belum dimaklumkan secara rasmi perincian pelaksanaan projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi Kereta Api Trans Borneo (TBR) yang dikendalikan oleh syarikat dari Brunei Darussalam.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut berkemungkinan merupakan cadangan sektor swasta dan ia hanya diketahui menerusi laporan media baru-baru ini.

"Kalau kita hendak membuat Kereta api Borneo, perlu ada persetujuan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei," katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rona Warni Aidilfitri X-Travaganza di sini.

yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan Unit Perancang Ekonomi sedang melaksanakan kajian mengenai pembinaan berkenaan.

Cadangan projek berkenaan yang diumumkan dalam laman web syarikat yang berpangkalan di Brunei itu dilaporkan dibina sepanjang 1,620 kilometer yang bakal menghubungkan Malaysia Timur, Brunei dan Kalimantan.

Laluan projek tersebut bakal melibatkan beberapa bandar dari Kota Kinabalu hingga Sipitang di Sabah, Lawas hingga Kuching di Sarawak selain Sambas dan Pontianak.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pelantikan Sarawak Energy sebagai penaung global Majlis Tenaga Dunia semalam, Abang Johari berkata ia membuktikan pelaksanaan dasar-dasar Sarawak dalam pembekalan tenaga yang boleh diperbaharui mendapat pengiktirafan dunia.

Pengeluar tenaga seluruh dunia termasuk di Eropah telah mengiktirafkan tenaga yang dikeluarkan oleh Sarawak sebagai tenaga dikehendaki ketika menghadapi perubahan iklim.

Menurut Premier Sarawak, beliau juga dijadual memberi ucaptama di Persidangan Pemuliharaan Planet di Poland selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ia sekali gus merupakan satu lagi pengiktirafan kepada Sarawak.

Pelantikan tersebut menjadikan syarikat utiliti milik kerajaan negeri sebagai penaung Majlis Tenaga Dunia pertama di rantau Asia Tenggara.

Ia telah dimuktamadkan dalam majlis pemeteraian perjanjian secara maya antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dengan Ketua Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tenaga Dunia Angela Wilkinson.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI