fb fb fb fb fb

Sarawak anjur Festival Filem Asia Pasifik tahun depan

KUCHING, 3 Ogos - Sarawak akan menganjurkan Festival Filem Asia Pasifik (APFF) tahun depan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata festival itu dirancang diadakan di Miri dan perkara tersebut telah disahkan oleh Setiausaha Agung Persekutuan Produser Filem Asia Pasifik (FPA) Suhan Pansha dan Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (FPM) Livan Tajan.

“Bagi pihak kementerian, kami gembira untuk menyokong inisiatif ini kerana tiga sebab, pertama kami akan menerima lebih ramai pelancong memasuki Sarawak dan kedua, APFF meliputi 22 negara di Asia Pasifik daripada Korea Selatan dan Jepun hinggalah ke New Zealand dan Australia.

“Ketiga, ia dianjurkan oleh ahli profesional yang sama yang telah menganjurkan AIFFA (Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN) dan Pansha telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau telah pergi ke banyak festival dan antara yang terbaik dikelolakan di rantau ini ialah AIFFA di Kuching,” katanya.



Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibacakan oleh timbalannya Datuk Snowdan Lawan pada AIFFA 2023 Filmbiz World di sini hari ini..

Terdahulu, Abdul Karim berkata AIFFA Filmbiz World adalah platform bagi pakar-pakar industri filem berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam industri itu.

“Sebagai perkembangan AIFFA untuk Sarawak tahun ini, saya sukacita memaklumkan satu persatuan baharu didaftarkan awal tahun ini, dikenali sebagai Persatuan Kolektif Filem Sarawak.

“Antara objektifnya termasuk pembangunan bakat di Sarawak dan untuk memelihara standard industri filem dan TV Sarawak menerusi dasar kerajaan,” katanya.

Pada majlis itu, Persatuan Kolektif Filem Sarawak dan Dana Filem Malindo menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang antara lain menggariskan kerjasama antara kedua-dua pihak berhubung pelaburan menerusi dana filem, selain mengenal pasti mereka yang layak untuk menerima dana tersebut di negeri ini dan juga seluruh Borneo. - BERNAMA

Media Baharu